Kalau admin tanya anda semua, apa yang melindungi bumi daripada radiasi kosmik dan juga radiasi matahari, apa jawapannya? Jawapannya sudah tentulah medan mangnet bumi kan? Medan magnet bumi akan menghasilkan satu pelindung yang dinamakan sebagai magnetosfera (magnetosphere). Magnetosfera ini lah yang melindungi kita dariapda zarah bercas dan angin suria (solar flare) yang dihasilkan oleh matahari. Kalau tak ada pelindung ni, sudah tentu ruangan atmosfera kita akan terjejas dan akan menyebabkan kehidupan di muka bumi ini mengalami kepupusan kerana radiasi dari angkasa sangatlah berbahaya. Kalau sudah dilindung oleh magnetosfera pun masih lagi ada yang kena barah kulit kerana sinaran ultralembayung (ultraviolet), cuba bayangkan kalau tak ada pelindung tu? Haaa.
Gambar di atas merupakan medan magnet bumi, garisan tersebut mewakili garisan magnet bumi, sebab medan magnet bergerak mengikut garisan. Macam mana kita boleh tahu medan magnet bergerak mengikut garisan? Dulu masa sekolah menengah ingat tak ada eksperimen mengenai magnet? Kita ambil serbuk besi dengan magnet, letak serbuk besi atas sehelai kertas, dan letak magnet bawah kertas tu, serbuk tu akan membentuk garisan, bukan? Itulah garisan medan magnet.
Medan magnet bumi ni akan menghalang zarah bercas dan angin suria dari memasuki ruangan atmosfera bumi. Walaubagaimana pun, zarah bercas akan mengalir mengikut medan magnet bumi. Pengaliran zarah bercas akan berlanggar dengan ruangan atmosfera bumi dan ini akan menyebabkan terjadinya fenomena aurora, aurora borealis untuk bahagian kutub utara, dan aurora autralis untuk bahagian kutub selatan.
Bahagian di mana kawasan angin suria dihalang oleh medan magnet bumi akan menghasilkan sesuatu yang dinamakan sebagai “bow shock”. Pernah tengok tak kat kawasan air terjun ke atau sungai, bila ada batu menghalang laluan air, air tersebut akan melalui tepi batu tersebut, bukan? Macam itulah “bow shock”
Sekarang anda sudah tahu bukan apa yang melindungi kita daripada ancaman radiasi kosmik? Medan magnet bumi. Tapi sebenarnya bukan sahaja medan magnet bumi yang melindungi kita daripada radiasi kosmik, ada lagi satu lagi lapisan pelindung yang melindungi kita daripada sinaran-sinaran berbahaya dari angkasa. Berbalik pada angin suria yang dihasilkan oleh matahari tadi, walaupun angin tersebut merbahaya kepada kita dan dihalang oleh medan magnet bumi, namun angin suria jugalah yang melindungi kita daripada sinaran kosmik. Angin suria yang dihasilkan oleh matahari akan menghasilkan satu lapisan perlindungan yang dipanggil heliosfera (heliosphere). Tolakkan daripada angin suria ini menyebabkan sistem suria kita umpama berada di dalam satu buih yang menghalang radiasi dari kosmik memasuki sistem suria kita.
Lapisan heliosfera ini sama juga macam lapisan magnetosfera di bumi. Bezanya magnetosfera dihasilkan oleh medan magnet bumi, manakala heliosfera dihasilkan oleh angin suria matahari. Berdasarkan gambar di atas, terdapat beberapa kawasan yang dilabelkan. Admin akan terangkan maksud terma-terma tersebut dan terma ini sama maksudnya untuk magnetosfera.
Bow Shock = Kawasan di mana zarah-zarah bercas / radiasi kosmik dihalang oleh heliosphere / magnetosfera, menghasilkan bentuk seperti busur (bow).
Heliopause / magnetopause = Kawasan di mana heliosfera/magnetosfera berakhir.
Termination shock = Kawasan di mana kelajuan angin suria menjadi perlahan/kelajuan subsonik (untuk heliosfera sahaja).
Magnetosheath = Kawasan di antara bow shock dan juga magnetopause.
Heliosheath = Kawasan di antara heliopause dan juga termination shock.
Eksperimen macam mana nak lihat heliosphere ini terbentuk? Anda pergi ke sinki dapur anda, buka paip dan biarkan air tersebut jatuh ke dalam mangkuk sinki, apa yang anda lihat adalah kesan yang juga menyebabkan heliosfera terbentuk
Gambar berikutnya adalah kesan bow shock yang dapat dirakamkan oleh Teleskop Angkasa Hubble (Hubble Space Telescope) terjadi di nebula Orion hasil daripada pergerakan nebula dan juga angin suria yang dihasilkan oleh sistem bintang di nebula tersebut.
Gambar berikutnya merupakan jarak jangkauan heliosphere yang dihasilkan oleh angin suria matahari.
Heliosfera ini sedang dikaji oleh prob angkasa lepas (space probe) yang paling jauh dari bumi iaitu Voyager 1. Tanpa kehadiran heliosphere ini kita mungkin akan terdedah kepada ancaman radiasi yang lebih merbahaya. Maka dengan ini berakhirlah siri Sistem Suria. Terima kasih kepada para pembaca yang setia mengikuti siri Sistem Suria dan juga artikel-artikel lain di Fiziklah! Untuk mereka yang ketingglan siri Sistem Suria yang pertama dan kedua, admin akan tinggalkan pautandi bawah. Maaf kerana artikel ini agak panjang.
Sekian.
Siri Sistem Suria
Sistem Suria (Planet Panas): https://www.fiziklah.com/2017/01/sistem-suria-planet-panas/
Sistem Suria (Besi dan Ais Langit): https://www.fiziklah.com/2017/01/sistem-suria-besi-ais-langit/