Jika anda seorang yang begitu mengagumi cahaya dan bagaimana ia bergerak, membengkok, memantul dan sebagainya, anda mungkin mahu memberikan lebih perhatian kepada artikel-artikel dalam kategori ini kerana kami akan menceritakan mengenainya, dan lebih lagi!
Sebelum bercerita mengenai cahaya, ayuh kita imbas kembali apa yang cikgu-cikgu sekolah rendah kita pernah sebut di dalam kelas Sains – “Cahaya adalah sejenis gelombang..”, “Gelombang cahaya adalah..”.
Ya, cahaya adalah gelombang (wave), sudah tentu! (anda boleh anggap begitu sehinggalah nanti apabila kami dedahkan ia tidak sepenuhnya benar).
Maka, untuk memahami, lebih elok jika kita memahami apa itu gelombang dan jenis-jenisnya. Gelombang merupakan salah satu elemen terpenting dalam fizik selain daripada jirim (matter) dan tenaga (energy). Saya tidak mahu mendefiniskan gelombang secara skema tetapi dalam bahasa mudahnya – gelombang adalah cara alam semesta membawa tenaga dari satu titik ke titik yang lain, tanpa sebarang sentuhan, melalui ayunan jirim (oscillation of matter) menembusi sebuah medium (tanpa medium pun boleh!). Skema juga definisi di atas ni, bukan? Tak apalah, mungkin gambar di bawah boleh membantu.
Lihat bagaimana lelaki berkepala bulat tak penuh itu menghayunkan tali yang diikat pada dinding, ke atas dan ke bawah. Tidak menghairankan, ayunan ini akan dibawa dari si lelaki ke dinding (tenaga dibawa dari titik A ke titik B). Penting juga untuk anda sedari, bahagian tali di tangan lelaki itu (dan di semua bahagian juga sebenarnya!) tidak bergerak langsung ke kanan, hanya berhayun ke atas dan ke bawah pada keseimbangannya (equilibrium) – dan itulah salah satu ciri istimewa gelombang! Kita tidak panggil gelombang itu bergerak, kita katakan ia merambat (propagate), cuba ingat itu ya kerana nanti anda mungkin akan menemuinya di artikel yang akan datang!
Gelombang boleh dibahagikan kepada dua klasifikasi utama iaitu gelombang melintang (transverse wave) dan gelombang membujur (longitudinal wave). Sesebuah gelombang itu dipanggil sebagai melintang apabila arah ayunan jirim adalah berserenjang (perpendicular) kepada arah perambatan gelombang (↑→). Manakala, apabila arah ayunan jirim selari (parallel) dengan perambatan gelombang, ia dipanggil gelombang membulat (→→).
Antara contoh gelombang membulat adalah gelombang bunyi, yang menggunakan zarah udara sebagai medium. Bagi gelombang melintang pula, gelombang air adalah salah satu contoh yang merambat melalui zarah air sebagai medium. Cahaya, yang juga merupakan gelombang melintang tidak memerlukan sebarang medium untuk bergerak. Jika tidak, cahaya dari Matahari tidak dapat merambat ke Bumi kerana ruang angkasa lepas adalah kosong – dan Bumi kita akan sentiasa bergelap! Scaaaryy.
Kerana gelombang cahaya begitu penting dalam kehidupan manusia, ia mempunyai bidangnya tersendiri.
Optik adalah salah satu cabang fizik yang memfokuskan (pun intended!) kepada pengajian cahaya dan bagaimana ia berperilaku dalam alam semesta. Cahaya, seperti juga gelombang lain, boleh merambat, memantul (reflect), membias (refract), membelau (diffract), berserak (scatter), berinterferens (interference), melembap (damp), resonans (resonate) dan sebagainya.
Hatta, sekali lagi saya ulang, jika anda seorang yang begitu mengagumi cahaya dan lebih lagi, teruskan bersama kami!