Termodinamik

Ribut Taufan

Beberapa bulan dahulu kita dikejutkan dengan berita mengenai benua amerika dilanda beberapa ribut taufan seperti Hurricane Harvey, Hurricane Irma dan Hurricane Jose. Tetapi, tahukah anda apakah itu sebenarnya ribut taufan? Apa pula bezanya dengan puting beliung? Di samping dua soalan yang admin ajukan itu, mungkin ada selalu mendegar terma di dalam bahasa Inggeris seperti hurricane, typhoon, dan tropical cyclone. Di dalam bahasa Melayu ketiga-tiga tersebut adalah ribut taufan, tetapi kenapa di dalam bahasa Inggeris ada 3 terma yang berbeza pula ya? Jadi di dalam artikel kali ini admin akan membincangkan mengenai persoalan-persoalan tersebut.

Apa itu ribut taufan?
Ribut taufan merupakan sejenis ribut yang terjadi di kawasan lautan tropika dan sub tropika. Anda boleh lihat gambar di bawah untuk mengetahui di manakah kawasan tropika dan sub tropika.

Sumber: https://en.wikipedia.org/wiki/Tropics

Ribut taufan merupakan ribut pada tahap yang terakhir, terdapat 4 tahap untuk ribut, bermula dari disturbance, depression, storm, dan tropical cyclone (ribut taufan). Apa yang membezakan di antara ketiga-tiga ini adalah kekuatan dan kelajuan  ribut itu. Tahap yang pertama adalah disturbance ataupun ribut petir. Ribut petir ini sudah tentu tidak asing lagi bagi semua orang, di mana akan berlaku hujan beserta petir. Tahap yang kedua pula adalah tropical depression. Tahap ini adalah di mana angin sudah mula berpusar dan kelajuan pusaran angin adalah tidak melebihi 63 km/j (34 knot). Apabila kelajuan pusaran angin bertabah kuat dan laju, kita akan masuk kepada tahap yang ketiga, iaitu tropical storm ataupun ribut tropika. Kelajuan angin pusaran ribut tropika adalah kebiasaannya di antara 63 – 118 km/j. Bayangkan kalau kita bawa kereta dengan kelajuan 100 km/j dan kita hulurkan kepala kita di luar tingkap, macam tu lah kekuatan anginnya. Tahap yang terakhir adalah tahap dimana ribut taufan sudah terbentuk dengan kelajuan angin melebihi 118 km/j.

Sumber: http://eschooltoday.com/natural-disasters/hurricanes/how-do-hurricanes-form.html

Struktur dan Formasi
Apabila sudah terbentuknya ribut taufan ni, ianya akan diklasifikasikan kepada pelbagai kategori, antara kateogri yang mungkin anda semua selalu dengar adalah Saffir-Simpson Hurricane Scale (Kategori 1 – 5). Sebenarnya skala kelajuan angin ribut taufan adalah berbeza mengikut tempat, dan setiap tempat mempunyai kelajuan angin yang berbeza untuk setiap kategori. Jadi, kebiasaannya kategori yang digunakan untuk ribut taufan di benua Amerika tidak akan sama dengan kategori yang digunakan di benua Asia. Untuk menyelaraskan kelajuan angin ribut di semua tempat, satu skala universal telah digunakan, iaitu skala Beaufort. Skala ini digunakan untuk mengklasifikasikan kekuatan angin secara umum, dan bermula dari skala 0 hingga 12. Walau bagaimanapun, kelajuan angin untuk ribut taufan kesemuanya adalah pada skala 12.

Kekuatan ribut taufan dijana oleh haba dari lautan dan wap-wap air. Semakin lama dan banyak haba dan wap air diserap oleh ribut taufan, semakin laju lah ia. Kelahiran sesebuah ribut taufan bermula apabila udara panas dari permukaan lautan naik ke atas dan meninggalkan ruangan bertekanan rendah. Ini akan membuatkan udara persekitaran akan cuba untuk memenuhi ruangan bertekanan rendah itu. Udara tersebut juga turut akan menjadi panas dan kitaran udaran akan berterusan. Udara panas yang naik ke atas itu juga akan turun membawa wap-wap air. Wap-wap tersebut akan menyejuk melalui proses kondensasi dan melepaskan haba lalu membentuk awan (awan Cumulonimbus). Sistem awan ini akan makin membesar dan kitaran udara pula menjadi semakin laju. Semasa menghampiri pembentukan ribut taufan, udara panas akan naik secara berpusar, meninggalkan kawasan bertekanan rendah di bahagian tengah, udara yang sejuk akan cuba memenuhi ruangan bertekanan rendah di bahagian tengah.

Sumber: http://nsemsscience.blogspot.my/2015/05/hurricane-formation.html

Apabila ribut taufan naik ke darat, kekuatannya akan semakin berkurangan, ini adalah kerana penjana kuasanya sudah tiada, iaitu udara panas dan wap-wap air, walau bagaimanapun, ianya akan mengambil masa yang lama untuk reda.

Bahagian tengah sesebuah ribut taufan dikenali sebagai eye, kawasan ini sangat tenang berbanding dengan tempat dimana angin berpusar (eyewall). Lihat video di bawah ini bagaimana kapal terbang peninjau cuaca memasuki kawasan eye taufan Irma.

Hurricane vs Typhoon vs Cyclone
Kita selalu dengar akan 3 perkataan ini, ketiga-tiganya membawa maksud kepada ribut taufan, tetapi kenapa ada 3 nama ya? Ini adalah kerana, apa yang membezakan di antara ketiga-tiganya adalah lokasi kejadian berlaku. Boleh rujuk gambar di bawah untuk mengetahui kawasan mana yang ribut taufannya dipanggil sebagai typhoon, hurricane dan cyclone.

Saffir-Simspon Scale hanya digunakan untuk hurricane sahaja (benua amerika), manakala  untuk typhoon dan tropical cyclone pula Tropical Cyclone Intensity Scale digunakan.

Puting Beliung
Berbeza dengan taufan, puting beliung pula terjadi di darat dengan mekanisma pembentukan yang agak serupa. Puting beliung terhasil dengan wujudnya sejenis awan ribut petir yang dinamakan sebagai Supercell. Awan supercell adalah awah ribut yang mempunyai pusaran secara melintang di dalamnya. Awan ini juga menerima tenaga dan kekuatan daripada haba di daratan dan wap-wap air. Udara panas dari darat akan menghasilkan satu tiupan angin ke atas yang dipanggil sebagai updraft. Tiupan updraft ini akan memusingkan pusaran angin itu tadi untuk menjadi tegak. Jika puting beliung terjadi di kawasan perairan, ianya akan dipanggil sebagai waterspout. Walau bagaimanapun, kekuatan pusaran waterspout tidak sekuat puting beliung.

Sumber: http://www.geography.hunter.cuny.edu

 

Malaysia, Ribut Taufan dan Puting Beliung
Kedua-dua fenomena alam ni juga berlaku di Malaysia. Negeri Sabah menerima tempias ribut taufan daripada taufan yang melanda Filipina, manakala puting beliung pula dilaporkan kerap berlaku di kawasan lapang di Kedah. Waterspout pula sering dilihat di kawasan Jambatan Pulau Pinang. Lihat video di bawah rakaman kejadian waterspout di Jambatan Pulau Pinang.

 

Setakat ini sahaja yang admin ingin kongsikan mengenai fenomena alam yang menarik tetapi merbahaya ini. Admin akan cuba kongsikan mengenai fenomena alam yang lain pula di dalam artikel yang akan datang. Sekian.

Apa lagi?
Fiziklah!

Tahukan anda:

  • Taufan di hemisfera utara berputar melawan arah jam. Manakala di hemisfera selatan pula mengikut arah jam.
  • Taufan yang terbesar pernah dicatatkan adalah Taufan Tip (1979) yang berlaku di lautan pasifik. Berdiameter sebanyak 2280 KM, seluas separuh dari negara Amerika Syarikat.

Admin Z

Salah seorang daripada 2 admin Fiziklah! Itu je kot. LOL!

Artikel Berkait

Anda juga mungkin meminati
Close
Back to top button