Astrofizik & Kosmologi

Hujan Meteor Perseids

Para penggemar kejadian astronomi sudah tentu tidak asing lagi dengan hujan meteor Perseids (Perseids meteor shower) ni, antara hujan meteor yang ditunggu-tunggu untuk dicerap. Bagi mereka yang kurang biasa dengan kejadian-kejadian astronomi sudah tentu tertanya-tanya apakah hujan meteor Perseids ni kan? Baiklah mari kita fahami apakah hujan meteor dahulu.

Masihkah anda semua ingat istilah-istilah objek angkasa seperti komet, asteroid, meteor, meteoroid dan meteorite? Kalau ada yang masih samar-samar, boleh baca artikel ini, admin ada menerangkan mengenai apakah itu objek angkasa seperti asteroid dan komet: https://www.fiziklah.com/2017/01/sistem-suria-besi-ais-langit/

Apakah Meteor?
Secara asasnya meteor adalah fenomena di mana saki baki peninggalan daripada komet yang mengorbit matahari jatuh ke bumi. Komet ni asalnya adalah dari luar sistem suria kita, ianya akan menuju ke dalam sistem suria kita (berhampiran matahari) sebelum meneruskan perjalanan ke luar sistem suria kita semula.

Orbit komet Halley dan Ikeya-Zhang | Sumber: http://www.space-exploratorium.com

Semasa dalam perjalanan mendekati matahari, sesebuah komet akan mula teruap oleh radiasi dari matahari dan akan meninggalkan sisa-sisa sepanjang perjalanan mendekati kawasan dalaman sistem suria. Sisa-sisa ni kebiasannya diperbuat daripada batu-batuan, besi, dan ais. Saiz sisa-sisa ini kebiasaanya sangat kecil, dari beberapa centimeter sahaja sehingga ke 1 meter.

Sumber: thebigblogtheory.wordpress.com

Saki baki ini dipanggil sebagai meteoroid. Namun meteoroid tidak semestinya berasal dari sebuah komet, ianya juga mungkin adalah hasil sisa-sisa daripada perlanggaran di antara asteroid. Apabila bumi yang sedang mengorbit matahari melalui kawasan sisa-sisa komet ini (meteoroid), ianya akan memasuki ruang graviti bumi dan ditarik ke arah bumi. Apabila meteoroid ini memasuki ruangan atmosfera bumi, ianya akan menjadi panas lalu terbakar akibat daripada geseran di antara meteoroid dan atmosfera bumi. Fenomena ini lah yang dinamakan sebagai meteor ataupun tahi bintang. Untuk kes hujan meteor Perseids ni, ianya adalah sisa-sisa daripada komet Swift-Tuttle.

Kadang-kadang kalau anda sedang mendongak ke langit dan ternampak kesan seperti garisan yang muncul dan hilang dengan tiba-tiba, itu lah meteor, seperti gambar di atas ini. Jadi setelah difahami apakah itu meteor, hujan meteor pula membawa maksud fenomena meteor yang berlaku dalam kuantiti yang banyak. Kebiasannya kita mungkin akan nampak 2 atau 3 meteor dalam satu malam, tetapi semasa hujan meteor pula kadar meteor boleh menjadi sehingga 60 meteor per jam semasa waktu puncak.

Hujan Meteor Perseids
Setiap fenomena hujan meteor ada nama mereka yang tersendiri, seperti kali ni namanya adalah Perseids, ada juga hujan meteor Leonids, Geminids, Ursids dan banyak lagi. Nama ni adalah bersempena dengan kawasan kemunculan hujan meteor tersebut. Semasa hujan meteor Perseids, meteor-meteor tersebut seumpama jatuh dari buruj Perseus. Kawsan kemunculan meteor ini dipanggil sebagai radiant.

Meteor seakan-akan jatuh dari kawasan bulatan. | Sumber: Wikipedia

Kalau meteor tu seakan-akan jatuh dari buruj Perseus, maka ianya akan dinamakan sebagai hujan meteor Perseids, jika ianya dari buruj Ursa, maka ianya akan dinamakan sebagai hujan meteor Ursids. Begitulah untuk buruj-buruj yang lain.

Hujan meteor Perseids. | Sumber: www.king5.com

Cerapan Hujan Meteor
Disebabkan hujan meteor Perseids ni adalah di antara hujan meteor yang mempunyai bilangan meteor yang banyak, sudah tentu lah ramai yang akan membuat cerapan hujan meteor ini. Kebiasaannya balai cerap-balai cerap dan planetarium-planetarium di seluruh dunia termasuk Malaysia akan membuat program mencerap hujan meteor ini. Oleh kerana hujan meteor ini hadir dalam kuantiti yang banyak maka ianya boleh diperhatikan dengan mata kasar tanpa memerlukan kamera untuk tangkapan long exposureTetapi perlu kita ingat, terdapat juga beberapa faktor yang perlu diambil kira jika anda ingin membuat cerapan hujan meteor ini.

Cuaca
Sudah tentulah cuaca memainkan peranan penting di dalam semua pencerapan objek angkasa. Jika cuaca mendung / berawan semasa cerapan dijalankan maka adalah sukar untuk melihat kejadian hujan meteor tersebut. Kawasan yang tidak berawan seperti persisiran pantai adalah digalakkan untuk dijadikan sebagai tempat cerapan.

Pencemaran Cahaya
Pencemaran cahaya adalah salah satu faktor yang menghalang proses cerapan dijalankan. Kawasan bandar adalah tidak sesuai untuk dijadikan sebagai tempat cerapan kerana cahaya yang terang dari bumi menyukarkan kita untuk melihat hujan meteor yang jatuh di langit (cahaya lampu lebih terang dari cahaya meteor). Kehadiran bulan purnama semasa waktu hujan meteor juga mengganggu untuk melihat meteor kerana cahaya bulan yang sangat terang.

Peralatan Mencerap
Kamera dan tripod adalah  alat yang sangat perlu ada semasa cerapan dilakukan. Tidak semua meteor dapat dilhat dengan mata kerana ada yang berlaku dengan sangat cepat dan ada yang kita terlepas pandang. Jadi, teknik long exposure adalah sangat perlu untuk melihat kesemua meteor yang jatuh ke bumi.

Gambar long exposure. | Sumber: http://www.stephenshelleyphotography.com

Kesabaran
Kesabaran adalah sangat perlu semasa mencerap fenomena hujan meteor ini. Mungkin ada yang membayangkan meteor jatuh bertalu-talu dari langit, sebenarnya tidak sama sekali! Gambar-gambar hujan meteor yang anda lihat di internet itu adalah hasi long exposure yang macam admin cakap tadi. Ada yang menggunakan exposure selama 4 jam. Paling banyak yang anda boleh lihat dengan mata kasar mungkin 5 hingga 10 dalam satu jam. Itu pun bergantung kepada cuaca, pencemaran cahaya dan tahap kemengantukkan anda.

Hujan meteor Perseids aktif dari 17 Julai sehingga 24 Ogos. Waktu puncaknya adalah jam 1 pagi pada 13 Ogos. Jadi jika anda berkelapangan pada waktu tersebut, boleh lah ke balai cerap yang berdekatan dengan anda untuk sama-sama memeriahkan lagi aktiviti cerapan ini. Jika tidak berpeluang tak mengapa kerana banyak lagi hujan meteor yang akan berlaku atau anda boleh tunggu hujan meteor Perseids seterusnya pada tahun hadapan. Selamat mencerap!

Apa lagi, Fiziklah!

Nota kaki: Jika lebih dari 1000 meteor dilihat dalam waktu satu jam, ianya akan dikenali sebagai ribut meteor.

Admin Z

Salah seorang daripada 2 admin Fiziklah! Itu je kot. LOL!

Artikel Berkait

Anda juga mungkin meminati
Close
Back to top button