Astrofizik & Kosmologi

Fakta Gerhana Matahari Amerika 2017

Pada tarikh 21 Ogos 2017 akan berlaku satu fenomena gerhana matahari penuh di kawasan benua Amerika utara. Kejadian ini adalah kejadian gerhana yang dinanti-nantikan oleh semua penduduk benua tersebut terutamanya Amerika Syarikat dan digelar sebagai The Great American Eclipse. Sememangnya fenomena gerhana matahari adalah satu fenomena yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua orang terutamanya ahli astrofotografi. Apa yang menarik mengenai gerhana matahari ini sehingga digelar sedemikian? Mari kita lihat beberapa fakta mengenai gerhana ini.

Gerhana Penuh Pertama Selepas 38 Tahun.
Walaupun gerhana matahari berlaku secara purata sebanyak 3 kali setiap tahun, akan tetapi kali terakhir benua Amerika utara menerima gerhana penuh adalah pada tarikh 26 Febuari 1979. Sudah tentu ini adalah satu fenomena yang dinanti-nantikan oleh kebanyakkan penduduk benua tersebut. Gerhana penuh terakhir berlaku pada tahun lepas 9 March 2016 dan dapat disaksikan oleh penduduk Malaysia.

Cerapan gerhana pada tahun 1979. | Sumber: http://www.bbastrodesigns.com

Melintasi 14 Negeri di Amerika Syarikat.
Titik umbra dengan diameter maksima sebanyak 115 kilometer akan melintasi 14 buah negeri (Oregon, Idaho, Wyoming, Nebraska, Kansas, Missouri, Illinois, Kentucky, Tennessee, North Carolina, Georgia, Montana, dan South Carolina) dengan kelajuan 3600 km/j.



Totality Selama 2 Minit.
Totality bermaksud waktu di mana matahari dilindungi sepenuhnya oleh bulan, dan ini akan menyebabkan kawasan yang menerima totality akan bergelap seperti senja. Totality akan berlaku selama 2 minit 40 saat. Untuk perbandingan, totality semasa gerhana matahari 9 Mac 2016 adalah selama 4 minit 9 saat dan totality paling lama setakat ini adalah 6 minit 55 saat sewaktu gerhana matahari pada 11 Julai 1991. Walaupun sekejap tetapi totality adalah waktu puncak bagi setiap gerhana matahari dan pasti akan memberikan pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan oleh pemerhati.

Siri 22 Saros 145.
Kejadian gerhana (matahari dan bulan) berlaku di dalam satu kitaran, dan kitaran ini mengambil masa selama 223 bulan synodic. 1 bulan synodic adalah waktu yang diambil oleh bulan untuk melengkapkan fasa-fasanya, 29.5 hari. 223 bulan synodic ini jika dikira di dalam hari adalah selama  6585.3211 hari ataupun 18 tahun 11 hari 8 jam. Pelbagai jenis gerhana akan berlaku di dalam tempoh 223 bulan synodic tersebut akan tetapi, selepas 223 bulan synodic, kitaran gerhana akan tamat dan akan bermula semula (siri baru).

Kitaran ini bermaksud gerhana yang berlaku 223 bulan synodic selepas gerhana sebelumnya akan mempunyai ciri-ciri yang sama, geometri yang sama dan berlaku waktu yang sama (waktu tempatan). Sebagai contoh, gerhana yang berlaku pada 9 Mac 2016 adalah siri ke 52 Saros 130 dan bermula pada jam 9 pagi waktu Malaysia. Maka gerhana Saros 130 siri seterusya (53) akan berlaku pada 20 Mac 2034 dan  bermula pada waktu 9 pagi juga (waktu kawasan yang menerima gerhana). Gerhana 21 Ogos 2017 adalah siri 22 Saros 145 dan bermula pada jam 11 pagi waktu tempatan. Jadi siri seterusnya untuk Saros 145 adalah pada 2 September 2035 jam 11 pagi juga (waktu tempatan).

Sumber: eclipse.gsfc.nasa.gov

Gerhana Seterusnya di Malaysia?
Mesti ramai yang teranti-nantikan bila lah agaknya gerhana seterusnya dapat dilihat di Malaysia, terutamanya bagi mereka yang terlepas untuk menyaksikan gerhana separa pada tahun lepas. Jangan risau, tak lama je lagi, gerhana seterusnya yang dapat dilihat oleh kita adalah pada tarikh 26 Disember 2019.

Laluan gerhana matahari annular 26 Disember 2019. | Sumber: www.timeanddate.com/eclipse/solar/2019-december-26

Gerhana ini adalah gerhana matahari annular, gerhana yang berlaku semasa bulan berada pada jarak yang lebih jauh dari bumi. Hasilnya adalah matahari tidak dilindungi sepenuhnya oleh bulan dan akan kelihatan seperti cincin. Walau bagaimanapun fenomena gerhana annular ini tetap menarik untuk dicerap. Seperti gambar di bawah.

Sumber: www.theatlantic.com

Anda juga boleh rujuk artikel ini untuk memahami lebih lanjut mengenai gerhana: https://www.fiziklah.com/2017/06/gerhana-matahari/

Kepada mereka yang akan ke kawasan amerika utara untuk menyaksikan kejadian gerhana 21 Ogos ini, admin ucapkan selamat mencerap. Kepada mereka yang sedang berada di benua tersebut, bolehlah datang ke salah satu dari 14 negeri yang admin telah listkan untuk menyaksikan fenomena gerhana tersebut. Mereka-mereka yang berada di kawasan lain juga boleh mengikuti perkembangan dan lintas langsung dari kawasan kejadian dengan melawati pautan rasmi ini: https://eclipse2017.nasa.gov/.

Kawasan pertama yang dijangka akan menerima gerhana adalah pada jam 12:48 tengah malam waktu Malaysia, dan waktu maksimum gerhana adalah pada jam 2:25 pagi waktu Malaysia. Sama-sama lah kita nantikan dan ikuti fenomena alam yang sangat menarik ini.

Sekian, Apa lagi?
Fiziklah!

Admin Z

Salah seorang daripada 2 admin Fiziklah! Itu je kot. LOL!

Artikel Berkait

Anda juga mungkin meminati
Close
Back to top button