Optik & Gelombang

Sains Di Sebalik Duck Hunt

Nintendo Entertainment System (NES) adalah konsol permainan video yang menjadi idaman kanak-kanak sewaktu tahun 90an di Malaysia dahulu sebelum hadirnya Sony PlayStation 1. Tetapi ramai kebiasaannya permainan konsol ni dikenali sebagai “game tape”, sebab setiap permainan disimpan di dalam katrij yang berupa pita (tape).  Mesti ramai di kalangan pembaca semua yang ada atau pernah bermain dengan konsol ni kan? Antara permainan yang popular adalah Super Mario Bros, Excitebike, Road Fighter, Tetris, dan banyak lagi. Itu semua adalah di antara permainan yang sering dimainkan oleh penggemar konsol NES tersebut termasuklah permainan Duck Hunt.

Tapi kalau nak main permainan Duck Hunt tu, kita perlu ada satu alat yang dipanggil sebagai NES Zapper. Ianya adalah model plastik pistol yang digunakan dalam permainan Duck Hunt, admin agak mesti korang tak tahu nama dia NES Zapper kan dulu? Jangan risau, admin pun tak tahu juga. Ini lah dia rupa NES Zapper yang standard.

Sumber: www.ign.com

Kalau waktu main permainan Duck Hunt tu dulu mesti kita fikir kan macam mana pistol plastik ni boleh menembak itik yang terbang di dalam kaca tv tu kan? Kalau kita fikir balik, maju sungguh teknologi NES ni, sedangkan PlayStation pun tak ada teknologi macam tu. Baiklah sebelum kita pergi lebih mendalam mengenai NES Zapper dan Duck Hunt ni, mari kita lihat sedikit sebanyak macam mana permainan Duck Hunt ni, takut ada yang dah lupa kan.

Jadi mudah sahaja kan permainan dia? Kita bidik itik yang sedang terbang dah tekan picu pistol tersebut, kalau bidikan tepat maka jatuh itik tu ke tanah, kalau tak kena, maka itik tu akan terus beterbangan dan akhirnya hilang dari pengelihatan. Selepas sudah satu tahap, pemain akan ke tahap seterusnya di mana itik-itik tersebut akan terbang degan lebih laju dan semakin susah untuk dibidik.

Sumber: hackadaycom.wordpress.com

Tapi macam mana ye sebuah konsol yang dicipta pada tahun 80an tahu sama ada betul atau tak bidikan kita di kaca televisyen? Percaya atau tidak, permainan konsol tersebut tak tahu pun anda tembak kawasan mana di kaca televisyen tu, tetapi pistol tersebut yang tahu anda tembak di kawasan mana. Jom kita tengok apa yang terdapat di dalam pistol tersebut.

Sumber: http://laserpointerforums.com

A (Kanta): Imej dari kaca televisyen akan difokuskan dan keluasan pengelihatan (field of view) pistol tersebut dikecilkan.

B (Photodetector): Cahaya dari kaca televisyen akan dikesan.

C (Pemprosesan): Cahaya yang diterima dari kaca televisyen akan diproses untuk mengetahu apa yang ditembak oleh pemain.

Melalui pembedahan NES Zapper ni kita dapat tahu yang pistol tersebut akan mengesan kawasan yang ditembak oleh si pemain, tetapi apa yang dikesan oleh NES Zapper ni sebenarnya? Cuba anda perhatikan video permainan Duck Hunt di atas tadi. Setiap kali tembakan dilepaskan skrin akan berkelip. Kalau kita perlahankan kelipan skrin itu tadi, inilah sebenarnya yang terjadi.

Sumber: Imgur.com

Skrin akan menjadi hitam untuk 1 frame dan kotak putih akan muncul untuk 1 frame kemudian mengikut kedudukan itik itu tadi. Kotak putih ini lah yang dicari oleh pistol tersebut. Jika bidikan tepat pada itik (kotak putih), A (kanta) akan mengfokuskan kotak putih tersebut untuk dikesan oleh B (photodetector) sebelum diproses oleh dan maklumat akan dihantar ke konsol sama ada itik berjaya ditembak atau tidak. Pendek kata, pistol tu sebenarnya mencari cahaya berwarna puth di skrin televisyen. Bila pistol mengesan warna putih, maka itik berjaya ditembak.

Macam mana kalau ada 2 ekor itik pula (seperti video di atas)? Macam mana pistol tu nak tahu pemain menembak itik yang mana? Jika ada dua ekor itik di skrin, salah satu daripada dua kotak putih akan keluar beberapa milisaat lambatTiming juga memainkan peranan penting di dalam mengesan kawasan yang ditembak oleh pemain. Ini kerana imej yang dihasilkan oleh televisyen sinar katod (CRT) adalah melalui pancaran elektron yang menghentam phosphors di sebalik skrin. Imej akan terhasil garis demi garis (line by line). Pemprosesan imej ini tak dapat dikesan oleh mata kita, sebaliknya boleh dikesan oleh kamera. Sebab tu kadang-kadang kalau kita rakam skrin komputer atau televisyen kita akan nampak macam ada garisan menurun ke bawah. Maka pistol tadi akan mengesan bila picu pistol ditekan dan bila kotak putih itu muncul.

Mudah kan flow cara NES Zapper dan permainan Duck Hunt berfungsi? NES Zapper ini mungkin tidak akan berfungsi dengan baik untuk televisyen selain CRT kerana televisyen moden memproses imej secara serentak, nanti mungkin admin akan tulis artikel mengenai CRT untuk fahami lebih lanjut bagaimana ia menghasilkan imej. Mengakhiri artikel ini, nah anjing yang paling dibenci oleh para pemain konsol NES.

Sekian,
Apa lagi, Fiziklah!

Admin Z

Salah seorang daripada 2 admin Fiziklah! Itu je kot. LOL!

Artikel Berkait

Anda juga mungkin meminati
Close
Back to top button