Mungkin ramai di antara para pembaca Fiziklah! yang tak tahu apakah itu “eye black”. Jangan keliru dengan “black eye” pula ye, “black eye” tu adalah kesan lebam di mata. Eye black ni adalah satu garisan hitam yang dilukis di bawah mata berdekataan dengan pipi sesorang atlet sukan. Kebiasaannya eye black ni dipakai oleh pemain ragbi amerika (american football) dan juga besbol. Sukan-sukan ni pun bukan sukan utama di Malaysia lagi-lagi ragbi amerika, sebab tu lah kita tak didedahkan dengan eye black ni.
Kenapa atlet-atlet ni lukis eye black? Tujuan utama mereka melukis eye black adalah untuk menghalang silau daripada cahaya terang di stadium, sebagai contoh cahaya matahari dan juga cahaya lampu limpah (floodlight). Mesti anda tertanya-tanya macam mana satu garisan hitam di bawah mata boleh halang silau kan? Kenapa tak pakai cermin mata je? Iya memang betul cara paling berkesan untuk menghalang silau dah tentu lah dengan menggunakan cermin mata hitam, tetapi perlu anda ingat yang mereka ini adalah atlet sukan yang memerlukan ketangkasan, jadi pemakaian cermin mata hitam dah tentulah tak praktikal.
Cahaya
Sebelum kita ketahui macam mana garisan hitam ni boleh kurangkan silau, jom kita refresh dulu apa itu cahaya. Cahaya adalah gelombang elektromagnet, dan segala cahaya berada di dalam julat spektrum yang boleh dilihat (visible spectrum), boleh rujuk artikel ini untuk ketahui lebih lanjut mengenai gelombang elektromagnet: https://www.fiziklah.com/2016/12/i-got-an-electric-i-got-a-magnet-uhmm/, menurut prinsip duality, cahaya adalah gelombang dan juga zarah, dan zarah ini dipanggil sebagai foton. Foton ini lah yang membolehkan kita berupaya untuk melihat. Foton yang dipancarkan / dipantulkan dari sesuatu objek akan masuk ke dalam retina mata dan akan diproses, dan ini lah yang menyebabkan mengapa kita boleh nampak objek itu.
Warna
Seterusnya kita pergi kepada warna pula, kita boleh lihat pelbagai warna kerana cahaya pada asalnya adalah komposisi kesemua warna (warna putih). Bila kita nampak sesuatu objek itu berwarna merah, ianya adalah kerana warna-warna lain telah diserap oleh objek itu dan cuma warna merah sahaja yang dipantulkan ke retina kita dan begitu juga lah kalau kita nampak warna-warna lain. Warna hitam pula adalah hasil penyerapan kesemua warna dari cahaya tersebut, manakala warna putih pula adalah hasil pantulan kesemua warna. Jadi boleh faham kan setakat ni mengenai cahaya dan warna.
Eye black Untuk Mengurangkan Silau
Semasa di dalam padang para atlet perlu fokus kepada permainan dan perlu mengetepikan segala gangguan. Di dalam permainan besbol dan ragbi amerika, para pemain perlu sentiasa memerhatikan bola dan bola tersebut sentiasa bergerak laju. Sebagai contoh, bola besbol kebiasaanya akan bergerak selaju 100 km/j secara purata dan mampu mencapai sehingga 170 km/j semasa dibaling oleh pitcher. Dengan saiz bola yang kecil (sebesar tapak tangan orang dewasa) dan berwarna putih, para pemain perlu fokus untuk memukul dan menangkap bola di dalam limpahan lampu yang sangat terang. Macam yang admin cakap tadi, cahaya boleh diserap dan dipantulkan, jadi cahaya ni boleh dipantulkan dari struktur muka atlet itu sendiri. Pantulan tersebut boleh memasuki mata dan memberikan kesan silau, menyukarkan pemain untuk memukul dan menangkap bola. Kawasan yang cenderung untuk memantulkan cahaya adalah kawasan tulang pipi (cheek bone) di bawah mata lebih-lebih lagi dengan kehadiran peluh. Maka garisan berwarna hitam akan dilukis di kawasan tersebut untuk menyerap cahaya tersebut sekali gus mengurangkan risiko silau.
Walau bagaimanapun, penggunaan eye black ni adalah bergantung kepada struktur muka, ada yang bahagian pipinya tidak menonjol maka tiada risiko pantulan cahaya yang menyilaukan. Sebab tu lah bukan semua yang pakai, cuma segelintir sahaja.
Keberkesanan
Keberkesanan eye black ni masih lagi didebatkan, ada yang kata ianya sekadar kosmetik sahaja. Tak silap admin Mythbuster pernah buat episod pasal eye black ni tapi admin tak jumpa pula videonya. Tetapi ramai pemain sukan-sukan tersebut yang mengaku bahawa penggunaan eye black ni mampu meningkatkan pengelihatan mereka dan menghalang silau. Walau apa pun pemakaian eye black ni dah menjadi sangat jarang sekarang ni. Tak tahu lah mungkin sebab intensiti lampu dah dikurangkan atau ianya sememangnya tak membantu. Apa-apa pun kalau kita nak tahu sendiri keberkesanannya mungkin kita kena cuba sendiri.
Sekian sahaja dari kami, apa lagi?
Fiziklah!
Sumber rujukan:
https://www.eyeblack.com/what-is-eyeblack/
http://www.discovery.com/tv-shows/mythbusters/mythbusters-database/baseball-eye-black-cuts-out-glare/
http://www.todayifoundout.com/index.php/2013/02/does-eye-black-actually-do-anything/