Oh siapakah,
Yang datang bersama malam,
Dan memuramkan,
Wajah siang hariku.
Mungkin ramai yang tahu tajuk kepada lirik lagu yang admin letakkan di atas tu. Itu lah bait-bait lagu Gerhana dendangan kumpulan Kembara yang popular pada awal tahun 80an dahulu. Jadi pengisian untuk artikel pada kali ini tak lain tak bukan tentulah mengenai gerhana. Sudah tentu ramai yang dah tahu bahawa gerhana ni boleh terbahagi kepada dua, iaitu gerhana matahari dan juga gerhana bulan. Walaupun ramai yang dah tahu tapi ada yang masih lagi keliru antara gerhana bulan dan matahari. Jadi admin nak terangkan dengan jelas mengenai kedua-dua gerhana ini di dalam artikel kali ini.
Mungkin ramai yang masih ingat pada tarikh 9 Mac 2016 negara kita telah mengalami fenomena gerhana matahari separa, dan pelbagai gambar cerapan fenomena tersebut telah dimuat naik di laman-laman sosial. Ini berikutkan kerana fenomena gerhana matahari adalah lebih popular berbanding gerhana bulan. Admin yakin mesti anda semua ada terlihat sendiri fenomena ini. Kalau belum admin nak kongsikan sikit gambaran gerhana matahari.
Gerhana Matahari
Apakah sebenarnya gerhana matahari ini? Gerhana matahari adalah fenomena yang berlaku apabila cahaya matahari dilindungi oleh bulan. Jadi gerhana matahari ini terjadi pada waktu siang sahaja. Seperti yang kita tahu, bulan sentiasa mengelilingi bumi. Apabila sampai satu pada satu ketika, bulan akan berada betu-betul di antara matahari dan bumi. Seperti objek-objek lain, sesuatu objek yang terkena cahaya akan menghasilkan bayang, bulan juga akan menghasilkan bayang dan bayang tersebut akan terpancar ke bumi. Kawasan yang terkena bayang bulan ini lah yang akan mengalami fenomena gerhana matahari. Boleh lihat gambar di bawah.
Bayang bulan terbahagi kepada dua, iaitu umbra dan penumbra. Kawasan yang terdedah kepada umbra adalah kawasan yang mengalami gerhana penuh (total eclipse) manakala kawasan yang terdedah kepada penumbra pula adalah kawasan yang mengalami gerhana separa (partial eclipse). Gambar yang paling atas itu adalah contoh fenomena gerhana penuh. Pada tarikh 9 Mac 2016 itu rakyat Malaysia telah menyaksikan fenomena gerhana separa, manakala beberapa kawasan di Indonesia telah menerima gerhana penuh. Peta di bawah menunjukan kawasan yang dapat menyaksikan kejadian gerhana pada tarkih tersebut.
Animasi gambar di bawah pula adalah urutan fasa gerhana separa yang telah berjaya dirakamkan oleh kumpulan Astronomy Interest Group UPM. Bulan kelihatan melintasi bahagian kanan matahari sahaja.
Animasi gambar di bawah ini pula adalah urutan gerhana penuh di Indonesia yang berjaya dirakamkan oleh bekas pensyarah UPM Prof. Madya Dr. Zaidan Abdul Wahab. Sewaktu kejadian gerhana penuh (totality) suhu persekitaran akan menurun, dan bintang-bintang akan kelihatan, seperti waktu malam.
Satu lagi kategori gerhana matahari adalah gerhana annular. Gerhana annular ini berlaku apabila bulan berada pada jarak yang lebih jauh dari bumi. Ini disebabkan oleh orbit bulan berbentuk ellipse, maka jarak di antara bulan dan bumi akan sentiasa berubah. Disebabkan perubahan jarak ini, saiz bulan pada persepsi kita juga akan berubah. Sewaktu kejadian gerhana annular, matahari akan kelihatan seperti cincin, kerana bulan dilihat lebih kecil berbanding matahari dari bumi.
Fenomena-Fenomena Ketika Gerhana Matahari
Antara fenomena yang dapat dilihat ketika gerhana matahari adalah, cahaya matahari yang melalui daun-daun akan kelihatan seperti sabit, jika gerhana separa sedang berlaku. Dan ini pula yang akan kelihatan apabila gerhana annular sedang berlaku.
Bentuk-bentuk ini terhasil kerana lindungan cahaya matahari oleh bulan, maka cahaya yang melepasi rintangan (daun-daun di atas pokok) akan menghasilkan bentuk seperti bentuk gerhana yang sedang berlaku. Selain daripada itu, sewaktu gerhana penuh sedang berlaku, suhu akan menurun, ini disebabkan oleh ketiadaan sumber haba (cahaya matahari). Keadaan langit juga akan menjadi gelap, seakan-akan senja / malam.
Corona dan solar prominence / chromosphere akan kelihatan. Corona merupakan lingkaran plasma dari sesebuah bintang (matahari juga adalah sebuah bintang). Lingkaran ini mampu untuk mencapai sehingga jutaan kilometer dari permukaan matahari. Corona ini sentiasa wujud di atas permukaan matahari, namun kita tidak dapat melihatnya pada waktu biasa kerana cahaya matahari yang lebih terang telah menutupi corona ini. Solar prominence / chromosphere pula merupakan lingkaran api pada lapisan paling atas permukaan matahari.
Telur Berdiri?
Ini adalah eksperimen yang sering kita dengar sewaktu berlakunya gerhana matahari, telur akan beridiri disebabkan oleh tarikan graviti bulan dan juga matahari. Percaya atau tidak, fenomena telur berdiri tidak ada kena mengena dengan gerhana sama sekali. Graviti matahari dan bulan hanya akan bertindak ke atas objek / jasad yang berjisim besar sahaja seperti lautan (fenomena pasang surut). Perubahan tarikan graviti kepada telur ataupun objek berjisim kecil boleh diabaikan (negligible) atau dalam kata lain, tidak memberikan sebarang kesan. Tiada langsung bukti saintifik mahupun kajian yang mengaitkan di antara gerhana dan telur berdiri. Kesan graviti matahari, bulan, dan telur boleh dilihat dan dikira menggunakan persamaan di bawah ini. Perbezaan jisim yang nyata di antara bulan, matahari dan telur menyebabkan perubahan graviti boleh diabaikan (hampir tiada langsung perubahan).
Gerhana Seterusnya
Gerhana matahari yang akan berlaku dalam masa terdekat ini adalah pada tarikh 21 Ogos 2017. Tetapi malangnya gerhana ini hanya akan melalui kawasan Amerika utara sahaja. Gerhana ini dikenali sebagai The Great American Eclipse. Jadi kepada sesiapa yang bercadang untuk melihat kejadian gerhana tersebut, boleh lah tempah tiket penerbangan awal-awal. Boleh klik pada link ini untuk melihat laluan gerhana tersebut: https://www.timeanddate.com/eclipse/solar/2017-august-21
Selain itu, anda juga boleh semak tarikh gerhana matahari yang akan datang di sini: https://en.wikipedia.org/wiki/List_of_solar_eclipses_in_the_21st_century
Setakat itu sahaja lah yang admin ingin kongsikan mengenai gerhana matahari. Admin akan kongsikan pula mengenai gerhana bulan pada masa akan datang. Harus diingati juga bahawa fenomena gerhana matahari tidak boleh diperhatikan menggunakan mata kasar semata-mata, ini kerana cahaya matahari yang sangat terang boleh merosakkan mata. Jika anda ingin memerhatikan gerhana matahari pada masa akan datang, pastikan anda membawa cermin mata hitam, atau lebih baik cermin mata khas untuk pemerhatian gerhana.
Sekian, apa lagi?
Fiziklah!