Sebelum membaca artikel ini, pembaca diingatkan bahawa hiperruang (hyperspace) masih tergolong dalam genre cereka sains, namun topik ini cukup menarik untuk dikupas serta mampu memberikan gambaran serta idea tentang beberapa teori fizik baharu.
Jika anda merupakan peminat filem Star Wars, anda pasti pernah mendengar istilah hiperruang digunakan sewaktu Hans Solo memandu pengangkut ringan, Millenium Falcon miliknya dari satu planet ke planet yang lain. Di dalam filem tersebut, hiperruang digunakan untuk sampai ke destinasi yang ditujui dengan pantas.
Hiperruang merupakan ruang alternatif yang dipercayai memiliki lebih daripada dimensi ruang yang kita diami sekarang – sebagai contoh, alam semesta kita mempunyai tiga dimensi ruang, maka, hiperruang haruslah mempunyai sekurang-kurangnya empat dimensi ruang. Untuk mengalami hiperruang, kita harus bergerak pada atau lebih laju daripada cahaya – atau digelar hiper-pemanduan (hyperdrive).
Berbalik kepada ulasan mengenai dimensi; merujuk Teori Tetangsi (String Theory), dunia fizikal terdiri daripada rangka kerja yang kecil dan satu dimensi tetangsi diperlukan untuk membentuk ruangmasa serta interaksi sesama mereka akan membentuk ‘kewujudan’. Jika Teori Tetangsi mampu dikaitkan dengan Mekanik Kuantum serta Kerelatifan Am dengan tepat, dimensi yang lebih tinggi di dalam hiperruang mampu diterokai.
Hiperruang kelihatan seperti cakera tengah cahaya yang terang. Imej ini adalah disebabkan Kesan Doppler di mana pergerakan yang terlalu pantas menyebabkan panjang gelombang (wavelength) cahaya meregang menjadi lebih panjang.
Persoalan utamanya: adakah hiperruang munasabah?
Terdapat teori yang mencadangkan perjalanan lebih pantas daripada kelajuan cahaya mungkin mampu dicapai menggunakan medan magnet bagi menerobosi ke dalam dimensi yang lebih tinggi. Namun, pandangan radikal ini ditolak oleh pandangan fizik arus perdana.
Walau bagaimanapun, umat manusia tidak seharusnya berputus asa dalam menjelajah kemungkinan hiperruang. Apa yang diperlukan adalah merungkai misteri kewujudan dimensi lebih tinggi bagi membolehkan perjalanan yang mempunyai kepantasan pada atau lebih laju daripada kelajuan cahaya sesuatu yang munabasah!
Nota sampingan: Hiperruang boleh dikaitkan dengan lubang cecacing (wormhole) yang mencadangkan bahawa dua titik dalam ruangmasa boleh dihubungkan dan secara teorinya menghasilkan jalan pintas bagi mengurangkan jarak dan masa perjalanan.
Artikel sumbangan:
Yusra Ramli | Bacelor Teknologi Kejuruteraan | Universiti Kuala Lumpur (UniKL) | [email protected]