Fizik Baharu

Dilema Pengembara Masa (Bahagian 2)

Tanpa berceloteh panjang, ayuh sambung dengan bahagian kedua dalam Dilema Pengembara Masa. Bahagian 1 di sini! Jenis kedua kaedah/peraturan pengembaraan masa (time travel) adalah seperti berikut:

2) Garis masa tetap (fixed timeline) – bayangkan situasi berikut. Anda, pada waktu semasa, sedang berbaring-baring di atas katil kamar tidur anda sambil melayan drama Melayu di tonton.com. Tidak lama selepas itu, pada saat 10:31:23pm, kedengaran dentuman yang agak kuat dari arah dapur, diikuti dengan riuh-rendah periuk belanga yang jatuh ke lantai. Dek kerana anda seorang yang penakut dan tak berani untuk melihat apa yang baharu sahaja berlaku, anda menyorok di bawah katil.

Sambil terketar-ketar menanti ajal (?), kedengaran seseorang sedang berlari di ruang tamu, membuka pintu utama dan meninggalkan rumah anda. Tatkala menghela nafas lega, anda terpandang sebuah peti di bawah katil, dan di dalamnya terdapat sebuat beg bimbit biola (seperti dalam filem Predestination). Di atas beg bimbit itu, terdapat sebuah pendail berformat DD:MM:YY & hh:mm:ss. Dengan perasan ingin tahu yang mampu membunuh kucing, anda mendail tarikh hari ini iaitu 27:12:2016 dan diikuti dengan waktu 10:31:23pm. Pusaran angin melanda dan anda lenyap dari pandangan.

Poof! Anda telah kembali ke tarikh dan waktu yang didail! Tatkala masih tidak dapat mencerna apa yang baharu sahaja terjadi, sifat gopoh anda menyebabkan anda terlanggar periuk belanga segala. Panik! Anda melarikan diri dan keluar dari rumah. 10 minit selepas itu, terasa seperti dihempap batu kesedaran, baharu anda fahami apa yang baharu saja berlaku!

Fuh panjang betul cerpen yang saya karang! Isi utamanya di sini adalah untuk menerangkan konsep pengembaraan masa jenis garis masa tetap; di mana apa yang akan berlaku, telah pun berlaku! Itu sahaja, mudah sahaja sebenarnya, dan saya tak perlu pun karang cerpen panjang-panjang, but oh well.  Ia berbeza dengan jenis garis masa dinamik yang membenarkan pengembara masa untuk mengubah sejarah, jenis garis masa tetap telah menetapkan sejarah dan mentakdirkan bahawa akan ada pengembara masa dari masa hadapan yang kembali ke masa lampau. Kesan kehadiran pengembara tersebut telah pun ditinggalkannya di masa lampau.

Berbalik kepada cerita fantasi anda tadi, andai kata selepas anda lenyap dan muncul semula di dapur lalu terus menyedari apa yang terjadi, maka anda (masa hadapan) membuat keputusan untuk berjumpa dengan anda (masa lampau) dan memberitahunya untuk tidak menggunakan mesin masa itu, jika dijumpainya nanti. Namun, disebabkan anda (masa lampau) tidak mempunyai memori berjumpa dengan anda (masa hadapan), maka rancangan anda (masa hadapan) itu tidak mungkin dan tidak akan berlaku!

Anda tidak boleh melawan takdir atau mengubah sejarah! Ia telah ditakdirkan (predestined). Itulah yang dicadangkan oleh pengembaraan masa jenis ini. Filem yang mungkin anda pernah tonton yang menggunakan konsep ini adalah Harry Potter & The Prisoner of Azkaban. Semua yang dilalui Harry, Hermione dan Ron sebelum Harry dan Hermione menggunakan Time’s Turner untuk kembali beberapa jam sebelum itu telah pun berlaku, dan mereka hanya kembali ke masa lampau untuk melengkapkan lingkaran masa tersebut.

Meskipun konsep pengembaraan masa seperti ini kedengaran lebih menarik berbanding jenis (1), namun ia juga mempunyai kelemahannya. Situasi di mana anda tidak dibenarkan (atau tidak akan berjaya) mengubah sejarah dan masa hadapan mewujudkan Paradoks Tiada Pilihan (No Choice Paradox). Paradoks ini bertentangan dengan kebolehan semulajadi manusia untuk membuat pilihan (free will); dan ia juga bertentangan dengan tujuan pengembaraan masa itu sendiri!

Disebabkan paradoks ini juga, para saintis berpendapat bahawa pengembaraan masa jenis garis masa tetap adalah mustahil!

Nantikan entri seterusnya!

*Meskipun kemungkinannya tidak dibenarkan di dunia realiti, di layar perak, jenis pengembaraan masa seperti ini adalah yang paling mengujakan (pada pandangan saya)! Tonton filem Predestination jika anda belum berbuat demikian, mungkin otak anda akan sedikit berdenyut selepas menontonnya 🙂

Artikel Berkait

Anda juga mungkin meminati
Close
Back to top button